Diskaun Saman Trafik Dilanjutkan Hingga 31 Disember

KUALA LUMPUR: Tempoh pembayaran saman trafik dengan diskaun sehingga 80 peratus akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keputusan itu dibuat selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sambutan yang begitu menggalakkan daripada masyarakat.

Menurutnya, tempoh lanjutan itu juga bagi memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan tunggakan dengan pengurangan nilai saman.

“Pengurangan ini bukan alasan untuk masyarakat tidak mematuhi undang-undang trafik yang ditetapkan PDRM, sebaliknya mereka perlu terus patuh.

“Pengurangan diharap dapat membantu masyarakat yang terjejas pendapatan akibat Covid-19 untuk menyelesaikan tunggakan saman trafik,” katanya dalam sidang media di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Sebelum ini pengurangan kompaun saman trafik sehingga 80 peratus diberikan bersempena Program 100 Hari AKM yang berakhir hari ini.

Namun, sambutan yang diterima daripada masyarakat begitu menggalakkan sehingga berlaku kehadiran luar biasa warga kota.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, pembayaran tunggakan saman boleh dibuat di semua kaunter trafik seluruh negara selain aplikasi MyBayar Saman.

“PDRM menyedari berlaku kesesakan trafik dalam aplikasi MyBayar Saman ekoran jumlah pengguna yang meningkat sepanjang tempoh pengurangan ini dibuat.

“Saya telah mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melihat keperluan untuk menambah kaunter pembayaran jika jumlah pembayar sama meningkat,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *