Penduduk Sandakan Disaran Manfaatkan Trak Klinik Bergerak Suntikan Vaksin

SANDAKAN : Masyarakat di Sandakan yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 disaran memanfaatkan trak klinik bergerak Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan untuk mendapatkan vaksin tersebut secara jumpa terus.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr Johari Awang Besar berkata trak itu dilengkapi katil dan pendingin hawa bagi keselesaan penerima vaksin selain disediakan dos penggalak malah mereka yang terlepas janji temu untuk dos kedua juga boleh mendapatkannya di trak berkenaan.

“Trak klinik bergerak itu dilancarkan pada 23 Okt lepas dan lokasinya sentiasa berubah setiap hari dengan menyasarkan kawasan yang mempunyai ramai pengunjung.

“Masyarakat mempunyai pilihan sama ada hendak mendapatkan vaksin di Hospital Duchess of Kent atau klinik kesihatan atau komuniti terdekat atau datang ke trak itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program AIDS Sedunia peringkat Sandakan di sini hari ini.

Dr Johari berkata kadar vaksinasi COVID-19 di Sandakan masih rendah dengan 62.1 peratus menerima dos pertama, manakala 59.6 peratus telah lengkap dua dos.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan pencapaian Penilaian Pantas dan Operasi Vaksinasi (RAVO) yang dijalankan sejak 4 Okt hingga 30 Nov lepas di daerah berkenaan.

“Sebanyak 277 lokaliti telah dilawat dengan 85,341 penduduk layak divaksin ditemui, dan daripada jumlah itu 84,652 penduduk atau 99.2 peratus telah divaksin,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *