Tetak 4 Sekeluarga Kerana Minta Hutang, Dua Beranak Diburu

Ketua Polis Daerah Beluran Kasim Muda, berkata kejadian tercetus selepas isteri mangsa menegur kakak perempuan suspek untuk menuntut bayaran hutang, namun suspek lelaki berusia 23 tahun marah, lalu menyerang isteri mangsa menggunakan parang.

BELURAN: Gara-gara meminta hutang, empat sekeluarga dipercayai ditetak dua beranak dalam kejadian di sebuah ladang, di Kampung Cahaya Baru, di Beluran.

Ketua Polis Daerah Beluran Kasim Muda, berkata kedua-dua suspek berkenaan yang juga anak dan bapa, masing-masing berusia 23 dan 51 tahun, kini diburu bagi membantu siasatan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, empat mangsa berusia antara 18 hingga 47 tahun parah selepas ditetak dalam satu pergaduhan di ladang terbabit.

“Sebelum kejadian berkenaan, isteri mangsa menegur kakak perempuan suspek untuk menuntut bayaran hutang lalu berlaku pertengkaran. Suspek lelaki berusia 23 tahun marah lalu bertindak menyerang isteri mangsa dengan sebilah parang.

“Mangsa cuba menghalang suspek, namun ditetak di bahagian tangan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Kasim berkata, pergaduhan kemudiannya dileraikan penyelia ladang, yang kemudian membawa mangsa ke pejabat untuk mengelakkan keadaan tidak terkawal.

Katanya, suspek pada mulanya pulang ke rumahnya, tetapi kembali bersama bapanya lalu bertindak menetak tiga lagi ahli keluarga mangsa sehingga parah.

“Sejurus kejadian, kedua-dua suspek melarikan diri dan usaha mengesan kedua-duanya sedang giat dijalankan.

“Empat orang mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Kassim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes supaya tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *