Polis KK Buru Lima Penjenayah Aktif Pecah Rumah

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu giat menjalankan operasi mengesan sekumpulan lima penjenayah yang dikesan aktif melakukan pecah rumah sekitar bandar raya ini sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan, pihaknya percaya kumpulan penjenayah terbabit dalam sekurang-kurangnya 11 kes pecah rumah dan peti besi membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

Katanya, berdasarkan siasatan dijalankan, pihaknya mengenal pasti kumpulan yang menaiki kereta berwarna gelap ini melakukan jenayah dengan mengenakan pakaian serba gelap iaitu ‘hoodie’ dan memakai pelitup muka.

“Kita percaya kumpulan ini melakukan perancangan rapi sebelum jenayah kumpulan berkenaan dijalankan.

“Mereka dipercayai mengenal pasti keadaan rumah, jalan keluar masuk dan sistem keselamatan rumah termasuk kamera litar tertutup (CCTV) sekitar perumahan berkenaan sebelum melakukan jenayah,” katanya.

Mohd Zaidi berkata demikian pada sidang media selepas sesi Dialog Keselamatan PDRM bersama JPPM, Ketua Kampung, ARS dan KRT sekitar bandar raya ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kes terbaru dilaporkan berlaku baru-baru ini di kawasan perumahan Lido, di sini, ketika pemilik rumah berada di luar daerah.

Katanya, kumpulan penjenayah terbabit didapati bertindak merosakkan sistem CCTV rumah mangsa sebelum melarikan barangan berharga.

“Antara kerugian yang dialami mangsa adalah kehilangan wang tunai sebanyak RM500,000 termasuk matawang asing, jam tangan berjenama Rolex dan beberapa lagi barangan berharga.

“Berdasarkan laporan kes pecah rumah sebelum ini, pelbagai kerugian dilaporkan termasuk kehilangan sepucuk pistol,” katanya.

Menurutnya, kumpulan berkenaan sudah dikenal pasti dan usaha memburu semua suspek sedang giat dijalankan.

Katanya, usaha pemantauan juga akan diperketatkan terutamanya menjelang cuti krismas dan tahun baharu nanti. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *