Mohamaddin Harap Bawa Kemajuan Kepada Lahad Datu Sebagai Ahli Bersatu

KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi menjelaskan beliau bertindak menyertai Bersatu dengan harapan dapat membawa kemajuan kepada kawasan Parlimennya itu.

Mohamaddin berkata ini kerana Bersatu merupakan parti komponen dalam kerajaan hari ini dan berpendapat beliau tidak mampu menunaikan amanah kepada pengundi jika bergelar pembangkang.

“Saya rasa rakyat di sana (Lahad Datu) lebih faham. Apabila saya diundi, rakyat mengharapkan sesuatu daripada saya (kemajuan).

“Apa yang saya akan harapkan sebagai pembangkang…tak bawa apa-apa (kemajuan). Pada pilihan raya seterusnya, saya akan kembali lagi menagih sokongan daripada rakyat. Apa orang (rakyat) akan kata,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam Facebook Penerangan Bersatu Sabah hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Segama itu yang mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah pada 30 Okt lepas, turut memberitahu beliau terhutang budi kepada pengundi yang memilihnya sebagai wakil rakyat.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan Mohamaddin menjadi ahli Bersatu secara rasmi. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *