Guru Sabah Panelis Utama Konvensyen Pendidikan United Kingdom

KENINGAU: Dua guru Bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional Keningau, Dr. Sirhajwan Idek dan Puan Nurazilah Othman, telah terpilih sebagai panelis utama bagi salah satu program pendidikan terbesar yang berpusat di United Kingdom iaitu Macmillan Education Winter Fair yang akan berlangsung pada 16 Disember 2021. Terdapat lima panelis bagi program dalam talian ini iaitu David Spencer, Alicja Galazka, Ben Crystal beserta dua guru ini.

Kesemua panelis ini dipilih berdasarkan pengalaman, kepakaran dan sumbangan mereka dalam bidang pendidikan khususnya Bahasa Inggeris. Kedua-dua panelis ini merupakan panelis pertama yang berasal dari luar benua Eropah.

Tema utama sesi latihan ini adalah penerapan teater dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dan ianya terbahagi kepada empat sesi.

Kedua-dua guru ini terpilih sebagai panelis kerana mereka adalah pemenang anugerah global Simon Greenall Award pada tahun 2021 dengan projek seni bertajuk “Dau-Dau”.

Mereka akan membentang sebahagian daripada projek mereka yang mengandungi elemen teater iaitu pertunjukan boneka, animasi pendek dan teater pembaca. Hasil daripada projek ini, para pelajar kolej ini telah menghasilkan pelbagai video persembahan seni termasuklah deklamasi puisi, penceritaan dan persembahan bahasa isyarat.

Para pelajar mereka telah berjaya menyertai dan merangkul pelbagai anugerah di festival seni dan pertandingan bahasa.

Pengarah kolej tersebut, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, meluahkan rasa bangga dengan pengiktirafan yang telah dicapai oleh para guru serta pelajar institusi tersebut kerana ianya menunjukkan komitmen KV Keningau untuk mewujudkan amalan terbaik dalam pelbagai bidang.

Golongan pendidik dan orang awam boleh mendaftar untuk menyertai program ini secara percuma sebagai pendengar melalui pautan berikut: https://www.macmillanenglish.com/by/training-events/events-webinars/event/advancing-learning-winter-fair

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *