Bekas Pengerusi DAP Sabah Keluar Parti

Jimmy Wong

KOTA KINABALU: Kecewa dengan keputusan pemilihan parti di peringkat negeri, bekas Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Datuk Jimmy Wong Sze Phin mengumumkan keluar parti semalam.

Keputusan itu dilakukan selepas tiga wakil rakyat DAP tewas secara mengejut dalam pemilihan DAP negeri baru-baru ini.

Bekas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri ini mengecam kepimpinan negeri yang baharu kerana tidak mengambil pendekatan inklusif sebaliknya, cuba bermain politik.

Pemimpin politik veteran ini memutuskan untuk menjadi ahli politik bebas setelah melihat pemilihan parti baru-baru ini dilihat memusnahkan asas perjuangan parti yang bersifat inklusif terhadap semua kaum.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong ini menyertai DAP Sabah sejak 2007 dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi DAP Sabah pada tahun 2013 hingga 2017 dan menjadi Penasihat DAP Sabah dari tahun 2018 hingga 2020.

Anaknya, yang juga ADUN Sri Tanjong, Justin Wong berkata, diharap semua pihak akan menghormati keputusan yang diambil oleh bapanya.

Katanya, apa yang pasti sumbangan ayahnya terhadap perjuangan DAP Sabah tidak akan terpadam.

Justin berkata, beliau akan terus berkhidmat sebagai ADUN DAP kerana itu adalah mandat yang diberikan oleh rakyat terhadapnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

Walaupun agak terkejut dengan keputusan pemilihan parti di peringkat negeri yang tidak mengekalkan asas perjuangan parti namun, beliau berharap, DAP Sabah akan terus mendekati penyokong bukan Cina di peringkat akar umbi.

“Kita mahu melihat DAP terus maju namun, dengan keputusan pemilihan peringkat negeri baru-baru ini, ia memberi petanda yang salah kepada pengundi Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

“Asas perjuangan parti sentiasa bersifat inklusif membabitkan semua bangsa. Walau bagaimanapun, barisan kepimpinan DAP negeri yang baharu seolah-olah cuba menyingkirkan pemimpin bukan berbangsa Cina dan ia bukan tindakan yang betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Justin, beberapa ahli Parlimen dan ADUN termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang; ADUN Elopura, Calvin Chong dan bekas Senator Adrian Lasimbang kalah dalam pemilihan dan keputusan itu agak mengejutkan.

Namun, beliau menghormati keputusan yang dibuat dalam pemilihan negeri itu.

Tambah beliau, masih terlalu awal untuk menyatakan impak kepimpinan DAP negeri ini bagi berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Apa yang penting adalah usaha meningkatkan sokongan pengundi bukan Cina harus dilakukan. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *