Penerima Vaksin Sinovac Paling Tinggi Pesakit Kategori 4, 5

KUALA LUMPUR: Majoriti pesakit kategori empat dan lima COVID-19 dalam kalangan individu divaksin yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dari Minggu Epidemiologi (ME) Ke-35 hingga 45 adalah penerima vaksin jenis Sinovac.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata disebabkan itu, sela masa bagi pemberian dos penggalak untuk penerima vaksin primer jenis Sinovac lebih pendek berbanding vaksin jenis lain.

“Mengapa sela (masa) dos penggalak yang lebih pendek untuk Sinovac iaitu tiga bulan berbanding Pfizer atau AstraZeneca (enam bulan)?

“Walaupun Sinovac berkesan, terdapat bukti keberkesanannya berkurangan lebih cepat,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Khairy berkata, data kemasukan mingguan kategori empat dan lima ke Hospital Sungai Buloh menunjukkan peningkatan ketara bagi penerima vaksin Sinovac berbanding Pfizer dan AstraZeneca.

“Disebabkan itu, kami mahu anda mengambil apa sahaja dos penggalak yang ditawarkan,” katanya.

Laporan dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Hospital Sungai Buloh itu menunjukkan kes COVID-19 kategori empat dan lima bagi penerima vaksin jenis Sinovac adalah yang tertinggi bagi setiap ME dengan ME Ke-45 merekodkan kemasukan tertinggi iaitu seramai 165 orang.

Sementara, penerima vaksin AstraZeneca merekodkan kemasukan ke hospital terendah dengan purata kurang daripada 10 kes setiap minggu.

Kes tertinggi membabitkan vaksin AstraZeneca direkodkan pada ME Ke-38, iaitu sebanyak 12 kes.

Bagi vaksin jenis Pfizer pula, kemasukan pesakit kategori empat dan lima tertinggi direkodkan pada ME Ke-45 dengan 24 kes.

Untuk rekod, pemberian suntikan penggalak dimulakan pada 13 Oktober lalu kepada warga emas berusia 60 tahun dan petugas barisan hadapan.

Terbaharu, KKM mengumumkan pemberian dos penggalak secara ‘walk in’ atau datang terus ke Pusat Pemberian Vaksin kemudahan kesihatan swasta mulai Isnin ini.

Kaedah itu akan dilaksanakan bagi lima kategori individu iaitu yang ingin mendapatkan suntikan secara lebih awal sebelum janji temu; belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin COVID-19; terlepas janji temu dan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun yang belum melengkapkan imunisasi.

Sementara itu, Khairy berkata, kebanyakan kes baharu COVID-19 yang dikesan ketika ini berpunca daripada kontak rapat termasuk keluarga dan kenalan.

“Disebabkan itu amalan TRIIS iaitu lakukan ujian, lapor, asingkan, maklumkan dan dapatkan rawatan segera adalah penting khususnya untuk memaklumkan keluarga anda dan rakan-rakan jika disahkan positif.

“Ini penting supaya mereka dapat segera melakukan ujian saringan kendiri,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *