Bayaran Bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 Fasa 2 Dibuat Mulai Selasa Ini

PUTRAJAYA: Pembayaran Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 Fasa 2 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan dibuat mulai Selasa ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ia akan dapat dimanfaatkan lebih sejuta perusahaan kecil sederhana (PKS) mikro yang layak.

Beliau berkata, bayaran itu lanjutan daripada bayaran fasa 1 sebanyak RM500 yang dibuat pada September lalu.

“Secara keseluruhan, setiap peniaga terbabit akan menerima bayaran berjumlah RM1,000 bawah GKP 4.0 bagi meringankan beban kewangan mereka akibat pandemik COVID-19.

“Inisiatif ini akan membabitkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0 dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pembayaran itu akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP, manakala semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai Isnin ini melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Beliau berkata, penerima GKP boleh merujuk soalan lazim yang turut dimuat naik di portal berkenaan.

“Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih sejuta PKS mikro di bawah GKP sejak COVID-19 melanda negara ialah sebanyak RM6.08 bilion.

“Kerajaan berharap agar bantuan tunai berterusan kepada PKS mikro yang layak ini dapat membantu aliran tunai, selain menggerakkan dan memulihkan kembali perniagaan mereka, iaitu sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik COVID-19,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *