Bung Pertahan Ongkili Daripada Kritikan Warganet

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin mempertahankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili yang dikritik oleh Ahli Parlimen dan warganet berhubung “diskriminasi layanan” Putrajaya terhadap dua negeri itu.

Warganet melabel Ongkili sebagai “pro-Putrajaya” dan “pengkhianat” susulan peringatannya kepada Ahli Parlimen Sepanggar daripada Warisan Azis Jamman dan Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan daripada STAR supaya tidak mempolitikkan isu pembangunan di Sabah dan Sarawak hingga “menggugat keamanan negara”.

Bung berkata: “Apa yang beliau katakan itu tepat. Sebagai pemimpin atau rakyat biasa kita mesti berunding dengan kerajaan persekutuan mengenai bagaimana ingin bersama-sama membangunkan Sabah dan Sarawak.

Katanya kepada FMT, mengecam kerajaan atau menggunakan “kaedah lain” tidak akan membawa hasil yang dimahukan.

“Apabila penduduk Sabah ke luar negara, mereka tidak akan mengatakan mereka dari Sabah tetapi Malaysia. Sebab itu saya bersetuju dengan apa yang dikatakan menteri (Ongkili),” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Isnin lalu Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu memberi peringatan kepada Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak supaya jangan “membakar api” yang tidak sepatutnya, sebaliknya perlu bersama memastikan negara terus berfungsi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PBS Christopher Mandut turut mempertahankan Presidennya dengan berkata, Ongkili yang juga Ahli Parlimen selama enam penggal sentiasa lantang membela hak negeri-negeri Borneo.

“Beliau telah membangkitkan mengenai isu kurang pembangunan ketika PBS dalam pembangkang dan terus mempunyai pendirian yang konsisten hingga ke hari ini (dalam kerajaan),” katanya dalam kenyataan semalam.

“Beliau juga bekerja keras dalam memastikan tuntutan dan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipenuhi.

“Pengalaman luasnya mengajar beliau bahawa pendekatan secara konfrontasi tidak semestinya menunjukkan hasil dan suasana lebih kondusif amat penting,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *