Walaupun Keluar Warisan, Mohamaddin Kekal ADUN Segama

Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya berkata, Mohamaddin Ketapi menegaskan tidak pernah meletak jawatan sebagai ADUN Segama dan tiada sebab untuk berbuat demikian.

KOTA KINABALU: Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya berkata, Mohamaddin Ketapi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama.

Katanya, kerusi DUN itu tidak akan dikosongkan walaupun Mohamaddin bukan lagi ahli Warisan selepas beliau mengumumkan keluar parti pada 30 Okt.

“Pada 30 Okt, saya menerima e-mel daripada Mohamaddin kerana saya berada di KL (Kuala Lumpur) ketika itu, iaitu surat dan dokumen yang membatalkan segala ‘aku janji’ yang beliau tandatangani dengan Warisan sebelum PRN (pilihan raya negeri) lalu.

“Selepas itu, pada 1 Nov, pejabat saya terima surat daripada firma guaman yang mengaku bertindak bagi pihak Mohamaddin dan surat itu menyatakan peletakan jawatan beliau.

“Bagaimanapun, keesokan harinya, pejabat saya menerima surat dan akuan berkanun daripada Mohamaddin yang menafikan menandatangani surat peletakan jawatan yang dikemukakan pada 30 Okt dan beliau juga menafikan melantik firma guaman bagi pihaknya,” katanya pada sidang media di DUN Sabah.

Kazim berkata, beliau sudah bertemu Mohamaddin semalam untuk menemubualnya berhubung perkara itu.

“Beliau (Mohamaddin) sekali lagi menegaskan tidak pernah letak jawatan (sebagai ADUN) dan tiada sebab untuk meletak jawatan.

“Saya juga terima surat perakuan daripada beliau yang mengatakan tidak pernah meletak jawatan dan saya juga ingin tegaskan, surat peletakan jawatan tanpa tarikh, jika mengikut undang-undang, ia tidak sah, jadi Mohamaddin kekal sebagai ADUN Segama,” katanya.

Pada 30 Okt, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Warisan untuk menjadi ADUN Bebas namun menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Hajiji Noor.

Beliau adalah ADUN ketiga Warisan yang keluar parti selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir dan ADUN Sindumin, Yusof Yacob. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *