Majlis Perkahwinan & Potong Jambul Cetus Kluster Baharu Di Sabah – Masidi

Penularan virus yang menjangkiti 52 penduduk kampung itu dipercayai berpunca daripada perkumpulan orang ramai dalam upacara majlis perkahwinan dan dua upacara potong jambul yang turut dihadiri saudara mara dari luar daerah, kata Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Penganjuran majlis perkahwinan dan upacara potong jambul atau bercukur mencetuskan kluster baharu COVID-19 berkaitan jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster baharu yang berlaku di Kampung Karanaan, Ranau itu dikesan selepas seorang penduduk yang juga kakitangan awam di daerah itu didapati positif COVID-19.

“Penularan virus yang menjangkiti 52 orang penduduk kampung setakat ini dipercayai berpunca daripada perkumpulan orang ramai dalam satu majlis perkahwinan dan dua upacara potong jambul yang turut dihadiri saudara mara dari luar daerah,” katanya dalam kenyataan media, petang ini.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah ketika ini, aktiviti sosial masih dilarang.

Ia termasuk kenduri-kendara, majlis sambutan perayaan, meraikan pernikahan atau pertunangan, perkahwinan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, hari kelahiran dan ‘reunion’.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kluster baharu itu adalah satu peringatan perlunya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa.

Katanya, pematuhan SOP penting lebih-lebih lagi Sabah akan beralih ke Fasa 4 PPN mulai esok dengan pelbagai sekatan terhadap majlis sosial dan aktiviti ekonomi akan dilonggarkan.

“Kesannya ialah risiko jangkitan virus di tempat awam dan acara sosial akan semakin tinggi. Rakyat tidak boleh lalai mematuhi semua SOP. Kelonggaran ini meletakkan tanggungjawab ‘frontliners’ di bahu rakyat sendiri untuk mengekang penularan virus COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Sabah hari ini mencatat 405 kes baharu COVID-19, turun 164 kes berbanding 569 kes yang dilaporkan semalam, iaitu antara yang terendah sejak beberapa bulan lalu.

“Kecuali daerah Kota Kinabalu yang mencatat 52 kes baharu, jumlah kes harian di semua daerah di Sabah pada hari ini adalah di bawah angka 50.

“Sebanyak 11 daerah mencatat kes baharu kurang daripada 10 kes, manakala tiga daerah iaitu Kunak, Tongod dan Kalabakan tidak mencatat sebarang jangkitan baharu,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *