Petugas Jabatan Penjara Maut Kereta Bertembung Dengan Lori Di Jalan Tamparuli-Ranau

Keadaan kenderaan pacuan empat dan lori dalam kemalangan tersebut.

TUARAN: Seorang petugas Jabatan Penjara Sandakan maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di kilometer 29, Jalan Tamparuli-Ranau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 33 disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, seorang lagi rakan sekerja mangsa berusia 43 tahun yang cedera di kepala masih mendapatkan rawatan di hospital sama.

Manakala katanya, seorang tahanan lelaki duduk di bahagian penumpang belakang turut mengalami kecederaan.

“Kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda Toyota Hilux Jabatan Penjara dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Akibat kejadian itu, kenderaan mangsa merempuh bahagian depan lori dipandu lelaki berusia 45 tahun yang datang dari arah bertentangan ,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis memohon saksi bebas yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *