Parlimen Lahad Datu Kekal Kubu Kuat Warisan

Awang Ahmad Sah Sahari (kiri) bersama Assafal P. Alian dalam sidang akhbar di Lahad Datu hari ini.

LAHAD DATU: Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin mampu mempertahankan semula kerusi Parlimen Lahad Datu yang menjadi kubu kuat Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, sebelum ini, Parlimen Lahad Datu mempunyai empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kesemuanya milik Warisan.

“Saya percaya dalam PRU akan datang, kita akan kekalkan kelima-lima kerusi termasuk kerusi Parlimen di kawasan itu. Selain Semporna, Lahad Datu antara kawasan terkuat Warisan dan kita yakin akan berjaya menangi semula kerusi di kawasan ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Pada masa ini, Timbalan Ketua Bahagian, Assafal P. Alian akan menjadi pemangku Ketua Bahagian yang akan memastikan Warisan bergerak dengan lebih baik dan ambil peduli tentang rakyat di kawasan Lahad Datu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Putatan ini berkata, kematangan berpolitik amat perlu kerana apa yang diperjuangkan bukan semata-mata ingin menjadi kerajaan dan mempunyai kedudukan sahaja.

“Perjuangan kita adalah untuk memastikan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia (MA63) dikembalikan demi kepentinga rakyat Sabah.

“Kita harus faham tujuan dan matlamat kita berpolitik adalah untuk memastikan hak sebagai rakyat Sabah dapat dibela melalui parti tempatan. Seperti kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang mahukan parti tempatan Sabah bersama-sama bersatu memperjuangkan dan mempertahankan hak kita sebagai rakyat Sabah,” katanya.

Ahmad Sah berkata, Datuk Mohamaddin Ketapi menyatakan tidak ditawarkan wang ketika bertindak keluar parti namun, semua orang tahu wakil rakyat Warisan ditawarkan wang untuk meninggalkan parti. Namun, tidak perlu disebutkan berapa jumlahnya.

Tambah beliau, apabila Mohamaddin keluar parti, tidak ramai ahli di peringkat bahagian yang keluar mengikut jejaknya kerana kebanyakan ahli masih setia bersama parti.

Keputusan Ahli Parlimen Lahad Datu itu keluar Warisan sudah dijangka dan akhirnya ia berlaku semalam. Biarpun Mohamaddin keluar parti namun, kedudukan Warisan Lahad Datu masih lagi kukuh.

Semalam, Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar Warisan bagi menjadi Ahli Parlimen dan ADUN Bebas yang mesra kerajaan negeri dan persekutuan.

Sehingga kini, Warisan masih mempunyai tujuh kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN selepas tiga wakil rakyatnya keluar meninggalkan parti termasuk ADUN Sebatik, Hassan A. Gani Pg Amir dan ADUN Sindumin, Datuk Dr, Yusof Yacob. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *