Hanya Kota Kinabalu Catat Kes Baharu Covid-19 Lebih 50 Kes Di Sabah

KOTA KINABALU: Kota Kinabalu adalah satu-satunya daerah di Sabah yang mencatatkan angka kes harian Covid-19 baharu melebihi paras 50 kes ke atas, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kecuali Kota Kinabalu, semua daerah lain mencatatkan bawah 50 kes.

“Kota Kinabalu mencatat 84 kes berbanding 47 kes yang direkodkan kelmarin. Sementara itu, majoriti daerah mencatatkan penurunan kes.

“Antaranya ialah daerah Kota Belud sebanyak 41 kes, Tuaran (30); Beaufort (19); Papar (18); Kinabatangan (6); Penampang (15) dan Sandakan (7),” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes baharu Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 447 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 217,949 kes.

“Sebanyak dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di Kuala Penyu dan Kota Marudu.

“Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 427 menjadikan jumlah kumulatif 206,999 orang.

“Manakala 1,841 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 747 orang di hospital, 1,077 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 16 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) manakala seorang di fasiliti swasta,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *