Buruh Dipenjara 16 Tahun Sebabkan Kematian Suami Kekasih

Tertuduh, Iwan Razali, 24, terlepas hukuman mati apabila dipenjara 16 tahun selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini.

TAWAU: Seorang buruh ladang yang mengaku bersalah menyebabkan kematian suami kekasihnya, terlepas daripada hukuman mati apabila diberi peluang membuat pengakuan itu mengikut pertuduhan pilihan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tertuduh, Iwan Razali, 24, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan pilihan dikemukakan kepadanya mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (KK) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Lim Hock Leng.

Sebelum ini, tertuduh menghadapi pertuduhan membunuh mangsa kira-kira tiga tahun lalu, mengikut Seksyen 302KK, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Tertuduh diberi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) KK setelah surat representasi dikemukakan oleh peguam belanya diterima dan dipersetujui Jabatan Peguam Negara.

Hock Leng dalam keputusannya, menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun ke atas tertuduh selepas bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan.

Katanya, walaupun tertuduh mengaku salah tetapi mahkamah mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa (si mati) yang terlalu banyak iaitu 41 kesan tikaman di seluruh anggota badan, selain tangan kiri mangsa yang putus.

“Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran iaitu penjara selama tempoh 16 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Amir Mappiase, 35, di rumah bernombor W010, Blok 3, Kampung Murai, Ladang Kretam Kalabakan, di sini, antara 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari pada 4 Mei 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam Ram Singh A/l Harban Singh dan Kamaruddin Chinki. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *