Tanya Tuan Punya Badan, Warisan Enggan Ulas ADUN Keluar Parti

Tiada apa yang boleh dikomen mengenai khabar angin mengatakan ADUN Sindumin telah meninggalkan parti, kata Lorreto Padua.

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Warisan Lorreto Padua enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, Yusof Yacob telah meninggalkan parti.

Katanya, setakat ini beliau belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada Yusof walaupun ada ura-ura mengatakan dia telah berbuat demikian.

“Tiada apa yang boleh saya komen kerana belum ada surat (peletakan jawatan), mungkin boleh tanya tuan punya badan (Yusof),” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, Sinar Harian semalam, melaporkan Yusof yang juga ADUN Sindumin dan Ketua Penerangan Warisan telah keluar meninggalkan parti.

Laporan yang memetik sumber itu mengatakan Yusof mengambil keputusan itu dan menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan.

Menurut sumber itu, beliau dijangka akan mengumumkan perkara itu secara rasmi pada minggu depan.

Dalam perkembangan sama, The Star, hari ini melaporkan Yusof menafikan yang dia telah meninggalkan Warisan.

Katanya, perkara itu hanya satu spekulasi namun berkata, sebarang perkembangan hanya akan diumumkan kemudian. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *