Bung Bohong, Bukan PH Potong Bajet Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata, Bung Moktar Radin sedar bukan Pakatan Harapan yang memotong bajet pembinaan, sebaliknya kerajaan Sabah ketika itu yang meminta projek tersebut diambil alih oleh JKR Sabah. – Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin berbohong apabila menuduh Pakatan Harapan (PH) memotong bajet pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, kata Ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin sebagai jurucakap ditemani Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual dan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, tuduhan yang dilemparkan Bung adalah tidak berasas.

“Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Bung Moktar Radin melemparkan tuduhan yang tidak berasas kepada PH dalam perbahasan Titah Diraja kelmarin,” katanya dalam sidang media di Bilik Media di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Chan menyatakan buktinya adalah berdasarkan jawapan balas Bung Moktar di DUN Sabah pada Disember lalu.

Beliau berkata, pada 2019, kerajaan negeri Sabah di bawah Warisan mencadangkan PDP (Project Delivery Partner) dan perjanjiannya ditamatkan pada September 2019.

Chan berkata, cadangan tersebut diajukan kepada kerajaan persekutuan i bawah PH. Susulan itu ia menyebabkan pelaksanaan projek tersebut bergantung hanya kepada perbelanjaan pembangunan kerajaan dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Berikutan perubahan tersebut, daripada 20 pakej kerja, hanya satu pakej kerja yang boleh diluluskan pada tahun 2021, katanya.

JKR Sabah menjangka cuma lima hingga enam pakej kerja dapat dilaksanakan di bawah RMK12 (2021 – 2025), namun secara keseluruhan, kesemua 35 pakej kerja hanya dijangka siap pada tahun 2040.

Menurut Chan, menerusi apa yang dinyatakan itu, Bung sedar bukan PH yang memotong bajet pembinaan malah kerajaan Sabah pada ketika itu yang meminta projek tersebut diambil alih oleh JKR Sabah dan menamatkan kaedah PDP.

“Ini menunjukkan betapa PH menghormati autonomi Sabah. Apa yang diminta oleh kerajaan Sabah kami sokong.

“Apa motif beliau untuk menuduh PH di Parlimen? Kami berpendapat, ia mungkin disebabkan kesungguhan beliau untuk lobi cara pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ditukar ke cara PFI (Private Fund Initiative),” kata Chan.

Sehubungan itu, Chan mencabar Bung Moktar untuk mengulangi kenyataan beliau di luar Dewan Rakyat dan mendapatkan dana pembangunan Sabah setanding dengan yang telah diperuntukkan semasa PH.

“Menabur fitnah dan menuding jari sebarangan dengan motif mencari kambing hitam bukan cara penyelesaiannya. Kami mencabar Bung Moktar untuk mengulangi kenyataan beliau di luar Dewan Rakyat,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *