Lapor Polis Jika Ada Penyelewengan Bakul Makanan – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedia memberi kerjasama jika ada penyelewengan membabitkan bantuan rakyat, khususnya pemberian bakul makanan kepada golongan terjejas akibat pandemik COVID-19 di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata pihaknya juga sedia untuk membuat laporan polis bersama-sama dengan pemimpin pembangkang yang menyuarakan dakwaan itu.

“Kalau ada penyelewengan, kita boleh buat laporan polis sama-sama, kerajaan sangat telus dalam soal ini kerana kita juga tidak mahu perkara seperti ini berlaku.

“Bagaimanapun, kita juga perlu mengambil maklum, kos barangan untuk bakul makanan di semua daerah di Sabah mungkin tidak sama, disebabkan harga barangan yang berbeza.

“Contohnya, harga barangan di Kota Kinabalu tentunya lebih rendah berbanding harga barangan di Nabawan, jadi ia juga boleh menyebabkan nilai bakul makanan tidak sama hingga timbul persepsi berlaku penyelewengan,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) berkaitan dakwaan penyelewengan bantuan bakul makanan yang diagihkan kepada rakyat terjejas akibat pandemik COVID-19 di Sabah.

Masidi menegaskan kerajaan negeri bersikap telus dalam mengagihkan bantuan bakul makanan kepada rakyat yang terjejas, malah menyediakan dana tambahan untuk tujuan itu bagi memastikan rakyat terus mendapat bantuan.

Katanya, dana asal bantuan bakul makanan sebanyak RM34.3 juta yang sudah diagihkan sebelum ini memanfaatkan seramai 241,911 orang dalam kategori B40, diikuti golongan e-Kasih (77,059 orang) dan 169,526 orang bagi penduduk yang menjalani kuarantin di rumah dan terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan Bantuan Bakul Makanan 3.0 (Tambahan) sebanyak RM15.7 juta untuk menyediakan sebanyak 157,863 bakul makanan.

“Setakat ini sebanyak 119,208 bakul makanan sudah diagihkan melalui dana tambahan ini,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata sebanyak 608,973 bakul makanan diagihkan kepada rakyat di Sabah melalui peruntukan dana asal dan tambahan yang disediakan kerajaan negeri.

Menjawab soalan asal Datuk Jaujan Sambakong (WARISAN-Sulabayan) mengenai peruntukan kerajaan sepanjang pandemik COVID-19, Masidi berkata bantuan bakul makanan adalah antara 11 inisaitif bantuan di Bawah Bantuan Sabah Prihatin 3.0 yang membabitkan peruntukan sebanyak RM324 juta. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *