Gimnasium Dibenar Beroperasi, Kecuali Negeri Fasa 1

Mengikut SOP itu, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi tertutup dibenarkan dalam Fasa Dua dan Tiga PPN, dengan pematuhan 50% kapasiti penggunaan.

KUALA LUMPUR: Semua pusat gimnasium, kecuali di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), kini dibenarkan kembali beroperasi, namun terhad untuk penggunaan individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Perkara itu dinyatakan dalam kemas kini prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dimuat naik di telegram rasmi mereka.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu dalam perkongsian di laman Twitter beliau mengingatkan semua pihak supaya mengikuti SOP yang ditetapkan.

“Gimnasium kini dibuka untuk operasi. Sila ikuti SOP dan terutamanya garis panduan pengudaraan. Nikmati kehidupan sihat!,” katanya sambil berkongsi infografik MKN yang dikemas kini pada Jumaat.

Mengikut SOP itu, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi tertutup (indoor) dibenarkan dalam Fasa Dua dan Tiga PPN, dengan pematuhan 50% kapasiti penggunaan atau kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Kehadiran pekerja pula adalah tidak melebihi 60% tenaga kerja merangkumi pengurusan dan operasi untuk Fasa Dua dan 80% untuk Fasa Tiga.

Hanya individu yang telah lengkap vaksinasi boleh menggunakan kemudahan itu dan mereka dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah bagi aktiviti tersebut dengan pematuhan SOP yang ketat.

Bagaimanapun, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi terbuka dan tertutup awam adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, di bawah Fasa Empat PPN semua fasiliti sukan dan rekreasi komersial adalah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100% merangkumi penggunaan pelanggan atau pengguna dan kehadiran pekerja.

Waktu operasi pula adalah tertakluk kepada syarat lesen, sementara pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi awam di Fasa Empat juga tertakluk kepada PBT dan pihak berkuasa berkaitan.

Manakala di bawah Fasa Satu PPN, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi tertutup, kecuali gimnasium dan pusat kecergasan, dibenarkan dengan pematuhan 50% kapasiti penggunaan atau kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Kehadiran pekerja pula dibenarkan tidak melebihi 60%, merangkumi pengurusan dan operasi. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *