Selit Dompet Mengandungi RM15,240 Ketika Urus Niaga Dadah, 3 Termasuk Wanita Ditahan

Dompet mengandungi wang tunai RM15,240 ditemui diselit di dalam seluar wanita yang ditahan bersama dua pengedar dadah di Pitas, malam tadi. – Foto Ihsan IPD Kota Marudu

KOTA MARUDU: Kegiatan dua lelaki dan seorang wanita yang aktif mengedar dadah sekitar Daerah Pitas akhirnya tumpas selepas ditahan polis, di hadapan sebuah bank, di sini, malam tadi.

Ketiga-tiga suspek berusia 22 tahun hingga 40 tahun itu ditahan Pasukan Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Pitas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu jam 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, semua suspek ditahan ketika sedang menjalankan urus niaga jual beli dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemui satu bag mengandungi 24 peket plastik lutsinar berbagai saiz yang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu berat 34 gram.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui wang tunai sebanyak RM15,230 dipercayai hasil penjualan dadah berkenaan.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Zairolnizal berkata, semua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Katanya, semua suspek direman sehingga 2  September depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1)ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Syabas dan tahniah kepada Pasukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Pitas yang berjaya menyelesaikan kes ini. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *