Sabah Catat Rekod Kematian Tertinggi

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat Covid-19 hari ini, dengan 41 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Jumlah itu lonjakan besar berbanding rekod tertinggi sebelum ini iaitu 28 kematian pada 12 Ogos lalu.

Daripada 41 kematian itu, 17 melibatkan kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) termasuk lapan warga asing. Ini juga rekod tertinggi baharu untuk negeri itu.

Bilangan hari ini membawa jumlah kematian di Sabah kepada 1,042.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, kebanyakan kematian berlaku di ibu negeri dengan 19 kes, disusuli Sandakan (lima), Tuaran (empat), masing-masing tiga di Penampang dan Keningau, masing-masing dua di Beaufort, Lahad Datu serta Kalabakan, dan satu di Tenom.

Katanya, jumlah jangkitan di negeri itu menunjukkan sedikit penurunan, tetapi masih mengatasi angka 3,000. Terbaru, sebanyak 3,010 kes baharu direkodkan, iaitu 477 kes kurang berbanding semalam.

Ini bererti jumlah keseluruhan kes di negeri itu kini 137,528 dengan 35,842 masih aktif.

Seramai 272 berada di unit rawatan rapi, manakala 76 memerlukan bantuan pernafasan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *