Hormat Jemaah Menteri Baharu Pilihan Ismail Sabri, Kata Salleh

Salleh Said Keruak mengucapkan tahniah kepada barisan Jemaah Menteri baharu dan berharap rakyat terus dijadikan fokus serta paksi terpenting kerajaan dalam usaha memulihkan kehidupan dan ekonomi rakyat.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri persekutuan Salleh Said Keruak menggesa semua pihak menghormati barisan Jemaah Menteri baharu yang dipilih Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua lantikan Kabinet baharu dan selamat bekerja. Sungguhpun saya mempunyai pandangan sendiri, ianya hak PM yang wajar kita hormati,” katanya dalam catatan di Facebook.

Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah berkata, barisan Jemaah Menteri baharu perlu bekerja keras dan menumpu perhatian untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi bagi memulihkan negara.

Katanya, selepas keadaan kembali stabil, mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said yang tidak tersenarai dalam barisan Jemaah Menteri baharu menyuarakan komitmennya untuk terus memberi sumbangan dan sokongan kepada inisiatif pembaharuan bagi memperkasa fungsi Parlimen serta badan kehakiman negara.

“Saya menyambut baik komitmen perdana menteri dan pihak pembangkang untuk memperkasa fungsi Parlimen dan kepentingan kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik seperti dinyatakan pada 25 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada barisan Jemaah Menteri baharu dan berharap rakyat terus dijadikan fokus serta paksi terpenting kerajaan dalam usaha memulihkan kehidupan dan ekonomi rakyat.

“Saya selaku Ahli Parlimen Pengerang akan terus memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat Parlimen Pengerang dan akan terus membawa suara rakyat di dalam Dewan Rakyat.

“Untuk warga Pengerang, perjuangan kita untuk melawan Covid-19 belum berakhir. Marilah kita berganding bahu untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat dan memulihkan sektor ekonomi Pengerang,” kata bekas timbalan yang dipertua Dewan Rakyat.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang kecewa nama Azalina “tercicir” daripada senarai Jemaah Menteri baharu.

Mereka mendesak Azalina dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memastikan sistem semak dan imbang lebih baik. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *