UPKO Sertai PH

Pakatan Harapan percaya penyertaan UPKO dapat terus memperkukuhkan kerjasama, khasnya dalam persiapan menuju pilihan raya umum ke-15.

KUALA LUMPUR: UPKO yang berpangkalan di Sabah menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai parti komponen keempat gabungan pembangkang itu, selain PKR, DAP dan Amanah.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berkata, UPKO memohon untuk menyertai PH dan Majlis Presidennya bersetuju menerima bekas parti komponen Barisan Nasional itu.

“PH percaya penyertaan UPKO ini akan terus memperkukuh kerjasama, terutama dalam persiapan menuju pilihan raya umum ke-15,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata, pintu PH sentiasa terbuka kepada parti pembangkang lain untuk bekerjasama atau menyertai mereka.

Perkembangan terbaharu ini menyusul laporan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim akan menemui pemimpin parti pembangkang lain untuk mempelawa mereka menyertai PH atau bekerjasama di bawah konsep “khemah besar” untuk mengukuhkan blok pembangkang.

Menurut laporan, pertemuan ketua parti pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu politik semasa, termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 Sept ini.

Sebelum ini, tiga wakil rakyat PH menggesa gabungan itu mempelawa parti pembangkang lain seperti Warisan, MUDA, Pejuang, UPKO dan PSB secara rasmi untuk menyertai mereka. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *