Saingan Anwar-Shafie Musnah Peluang Pembangkang Jadi PM, Kata Pemuda UPKO

Shafie Apdal turut dinamakan sebagai calon perdana menteri tetapi kemudian menyatakan sokongannya kepada Anwar Ibrahim. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Persaingan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Warisa Shafie Apdal mengenai siapa yang patut menjadi calon perdana menteri memusnahkan harapan blok itu untuk mendapatkan kerusi panas berkenaan, demikian bayangan diberikan pemimpin Pemuda pembangkang Sabah.

Tanpa menyebut nama dua pemimpin itu, Ketua Pemuda Upko Felix Joseph Saang dalam kenyataan berkata: “Tiada syak pada awalnya ada sedikit persaingan dan kekeliruan dalam pembangkang mengenai pemilihan calon PM.”

“Akhirnya ini menjejaskan semua parti dalam pembangkang.

“Bagaimanapun semua sudah berlalu. Biarlah ini menjadi pengajaran untuk kita semua. Usahlah kita ulangi kesilapan sama, terutama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).”

Katanya, blok pembangkang akhirnya berjaya meraih sokongan 105 Ahli Parlimen untuk Anwar, walaupun tidak cukup untuk membolehkannya dilantik sebagai perdana menteri kesembilan.

Shafie pada awalnya disebut-sebut bersama Anwar sebagai calon pembangkang untuk jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, pilihan terakhir bergantung kepada siapa yang mampu mendapat sokongan tambahan yang diperlukan daripada luar blok parti pembangkang.

Shafie kemudian mengundurkan diri dan berkata, partinya akan menyokong Anwar sepenuhnya.

Walaupun begitu Saang berkata, pembangkang seharusnya mampu belajar daripada pengalaman berkenaan.

Beliau menggesa parti pembangkang lain menerima tawaran Anwar supaya mereka menyertai atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Pembangkang pertama sekali mesti menyelesaikan sebarang perbalahan sesama sendiri sebelum dapat membentuk dasar dan perancangan berkesan secara bersama untuk memacu negara ini, contohnya berhubung pengendalian wabak serta pemulihan ekonomi,” katanya.

Semalam Anwar berkata, beliau akan menemui pemimpin parti pembangkang lain untuk menjemput mereka menyertai atau bekerjasama dengan PH.

Dalam kenyataan, Majlis Presiden PH berkata, ini selaras dengan konsep “khemah besar” pakatan itu demi memperkukuh blok pembangkang.

Saang berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan secara serius oleh semua parti pembangkang supaya dapat mewujudkan agenda bersama untuk menjadi alternatif yang kukuh buat rakyat dalam PRU15.

“Pembangkang tidak banyak masa lagi kerana pilihan raya mungkin diadakan bila-bila masa.

“Kita mesti bersedia dan akar umbi mesti bertindak dari sekarang. Sudah tiba masanya parti pembangkang bersatu. Kita mesti bertindak sebagai satu suara,” katanya.

Katanya, Pemuda Upko akan tetap dengan pendiriannya untuk menyokong keputusan kepimpinan tertinggi supaya bekerjasama dengan parti yang memperjuangkan ideologi pelbagai bangsa.

Upko kini mempunyai seorang Ahli Parlimen, iaitu Wilfred Madius Tangau. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *