UMNO Sabah Boleh ‘Goncang’ Kerajaan GRS, Kata Penganalisis

Penganalisis berkata “strategi baharu” itu adalah kata kunci untuk membuat lebih banyak tuntutan politik.

KOTA KINABALU: Umno Sabah selepas ini boleh membuat lebih banyak tuntutan mengenai pelantikan utama dalam kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas parti itu kembali berkuasa di peringkat persekutuan, kata penganalisis.

Mereka percaya ini mungkin selepas Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin memberi jaminan semalam bahawa ketika mereka terus memberi sokongan kepada Hajiji Noor sebagai ketua menteri, parti itu juga akan berbincang dengan ketua Bersatu negeri “untuk menyusun strategi baharu untuk pembangunan di Sabah”.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata “strategi baharu” itu adalah kata kunci untuk membuat lebih banyak tuntutan politik, seperti pelantikan ke dalam pentadbiran kerajaan negeri dan kedudukan yang telah dipegang oleh parti komponen GRS.

Namun, pada masa sama, dia berpendapat bahawa Bung yang juga timbalan ketua menteri, belum lagi menggoncang kedudukan GRS.

“Bung bersikap berhati-hati dan cerdik, ingin melihat bagaimana keadaannya di peringkat persekutuan terlebih dahulu,” katanya kepada FMT.

“Saya tidak rasa dia akan membuat sebarang keputusan yang tergesa-gesa untuk mengenepikan Hajiji.”

Ketika ditanya sama ada partinya akan terus menyokong Hajiji untuk kekal sebagai ketua menteri, Bung berkata “ Umno Sabah telah berjanji untuk memberi sokongan penuh (tetapi) kita perlu duduk berbincang dengan ketua menteri untuk menyusun strategi baharu untuk pembangunan di Sabah.”

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga terus menafikan dakwaan bahawa Umno Sabah akan mengambil langkah sama di negeri itu seperti yang dilakukan rakan sejawatnya kepada Bersatu di Semenanjung.

“Bagi saya, komen itu terlalu awal untuk dibincangkan. Ini kerana Umno Sabah secara jelasnya telah memberi komitmen bahawa kami akan mempertahankan GRS dalam apa jua cara,” katanya sebelum ini.

Sekiranya Bersatu “mengganggu” kerajaan persekutuan baharu

Penganalisis politik sebelum ini berkata Umno Sabah mungkin mengintai kerusi ketua menteri sekiranya parti itu menggantikan Bersatu sebagai kuasa utama di peringkat persekutuan.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi, bagaimanapun berpendapat Umno Sabah boleh cuba bertegas dengan kedudukan mereka di negeri itu susulan peralihan kuasa di Putrajaya kepada parti terbabit bagi memastikan GRS atau Hajiji mengikut rentaknya.

“Ini bukan sesuatu yang mustahil di Sabah, terutama apabila Umno berjaya mengambil semula Johor, Perak dan Melaka sebelum mendapat jawatan perdana menteri lagi,” katanya kepada FMT.

“Tetapi ini hanya akan berlaku jika Bersatu cuba “menganggu” kerajaan dipimpin oleh Perdana Menteri baharu, Ismail Sabri Yaakob. Kemudian, Bung akan melakukan perkara sama di Sabah.

“Jika ketua menteri melakukan sesuatu yang menyebabkan Umno Sabah tidak gembira, ia akan menjadi alasan untuk membalas dendam terhadap Bersatu.”

Oh mengulangi bahawa selain Bung, ahli dewan undangan negeri (ADUN) Sabah atau pemimpinya boleh menggoyang kedudukan dalam kerajaan GRS.

“Terdapat ramai tokoh politik yang bercita-cita tinggi di Sabah, jadi ya, ia tidak mustahil.

“Malah, Bung juga perlu bimbang (kerana) jika dia tidak membuat langkah, sesetengah orang dalam partinya mungkin melakukannya dan mungkin mendesaknya menyertai mereka,” katanya.

Gabungan GRS terdiri daripada anggota Perikatan Nasional, Bersatu, STAR, PAS dan SAPP dan Parti Bersatu Sabah (PBS). – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *