Sokongan Kepada Ismail Sabri Bersyarat – Muhyiddin

Ismail Sabri melambai kepada wakil media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kerajaan PN yang baharu secara bersyarat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti gabungan PN, iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 18 Pas dan seorang daripada Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) sudah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara, semalam.

Katanya, empat ahli Dewan Rakyat bebas yang menyokong PN juga berbuat demikian.

Antara syarat itu ialah sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, Ahli Parlimen Bera itu hendaklah memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Katanya, kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

“Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 apabila tiba masanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah berunding dengan pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan PRU bagi mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *