GPS Sokong Ismail Sabri Sebagai PM, Kata Pemimpin Sarawak

GPS sokong Ismail, kata pemimpin SarawakPemimpin Gabungan Parti Sarawak dalam satu acara di Kuching pada 2019.

KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyokong Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang dinamakan sebagai calon perdana menteri oleh Barisan Nasional (BN), kata salah seorang Ahli Parlimennya.

GPS mempunyai 18 Ahli Parlimen dan menjadi rakan kerjasama utama dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang tumbang pada Isnin lalu apabila Muhyiddin Yassin menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri selepas hilang sokongan majoriti.

“Kita telah bersetuju secara prinsipnya untuk menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri tetapi akuan berkanun (SD) kami hanya akan dihantar selepas mesyuarat GPS tengah hari ini,” kata Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar, seorang anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

PBB adalah komponen utama dalam GPS.

“Ismail Sabri adalah veteran dan pemimpin berpengalaman yang disukai ramai serta mempunyai banyak pengalaman dalam menguruskan Covid-19 sejak 17 bulan lalu,” kata bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu.

Beliau berkata, walaupun terdapat banyak pendapat mengenai cara negara menguruskan krisis Covid-19, namun semua pandangan itu adalah daripada orang luar “tanpa mempunyai pengetahuan sebenar terhadap percanggahan mengenai permintaan dari dalam”.

“Ismail Sabri, seperti juga yang lain dalam Kabinet PN telah melihatnya dan menghargai (kesulitan),” katanya.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun meminta semua Ahli Parlimen membuat SD untuk mengisytiharkan sokongan mereka kepada calon perdana menteri dan perlu dihantar menjelang 4 petang ini.

Malam tadi, Ahli Parlimen daripada BN sebulat suara menamakan Ismail sebagai calon perdana menteri.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak daripada Umno, Tajuddin Abdul Rahman.

Ditanya sama ada Ismail memperolehi majoriti, Tajuddin berkata, sokongan yang diterima telah melepasi angka 111.

“Ini dengan sokongan PAS dan Bersatu,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *