Warisan Cadang Shafie Apdal Sebagai Calon PM?

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal wajar dilantik sebagai calon Perdana Menteri baharu berdasarkan pengalaman beliau lebih 30 tahun dalam politik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman membayangkan, Mohd. Shafie diyakini dapat memberi perubahan dalam pentadbiran negara di bawah kerajaan baharu yang lebih stabil.

Bagaimanapun, beliau enggan meletakkan sepenuh harapan itu dan akan mencapai konsensus bersama parti-parti pembangkang lain termasuk DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) apabila tiba masanya nanti.

“Saya akan menjadi pilih kasih jika ditanya tentang ini kerana saya dengan beliau dari parti dan negeri yang sama jadi sudah tentu saya mengiakan pencalonan beliau.

“Ini terutama selepas 60 tahun Malaysia dibentuk, tidak pernah dalam sejarah pemimpin dari Sabah diberi peluang menerajui negara dan pertimbangan untuk merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika Ahli Parlimen Semporna itu sesuai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan persediaan pembangkang memberikan ‘Kabinet bayangan’ ekoran Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Muhyiddin menyerahkan surat peletakan jawatannya hari ini kepada Yang di-Pertuan Agong yang kemudiannya memperkenankan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula berkata, soal calon Perdana Menteri dan Kabinet bayangan bukan matlamat utama pembangkang kerana mereka tidak mahu membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *