‘Tidak Terlintas Namakan Diri Sendiri Calon Perdana Menteri’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: UMNO akan mempertimbangkan beberapa calon Perdana Menteri, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan semua Ahli Parlimen diharapkan.

“Demi kepentingan rakyat dan negara, ketahuilah saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.

“Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas diri saya sepanjang kemelut politik yang berlaku ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya kerajaan stabil segera ditubuhkan yang akan memfokuskan kepada menangani pandemik Covid-19 dan menguruskan kesejahteraan rakyat.

Antara lain beliau mencadangkan supaya sebuah kabinet yang efektif mirip seperti ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik dibentuk.

“Selepas negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat

mutlak kepada rakyat.

“Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti serta pimpinan lawan hendaklah dihentikan.

“Menggunakan agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi faedah kepada rakyat,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku sebelum ini perlu dijadikan teladan dan menyeru semua pihak memberi sepenuh tumpuan kepada matlamat menjaga kesejahteraan rakyat serta membina kembali negara tercinta.

Beliau berkata, Umno turut merakamkan terima kasih kepada Muhyiddin atas perkhidmatannya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *