Warisan, MUDA, PSB, UPKO Tolak Tawaran PM

Muhyiddin Yassin

KOTA KINABALU: Parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak menolak tawaran politik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan sekadar satu tindakan yang hipokrit.

Itu pandangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Sarawak Bersatu dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menerusi satu kenyataan bersama malam ini.

Menerusi kenyataan itu, kesemua pemimpin parti berasa cukup jelik dengan hipokrisi yang ditunjukkan Muhyiddin dalam pengumuman khas sebentar tadi terutama apabila beliau cuba untuk membeli sokongan menerusi reformasi Akta Lompat Parti.

“Hakikatnya kerajaan beliau (Muhyiddin) dibentuk dengan ahli-ahli Parlimen yang melompat parti setelah menerima tawaran dan sogokan. Maka, kami sekeras-kerasnya menolak tawaran politik yang dibuat sebentar tadi.

“Sejak dari tahun lepas lagi, parti-parti pembangkang mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bagi menstabilkan kerajaan. Namun, beliau (Muhyiddin) dengan sombong menolak segala tawaran pembangkang,” kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, sejak daripada hari pertama Muhyiddin sewenang-wenangnya menyalah guna undang-undang untuk berkuasa sehingga mengakibatkan kejatuhan kerajaan di Sabah, Kedah, Perak dan Johor.

“Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa bukan tanggungjawab Muhyiddin untuk memastikan kewujudan sokongan majoriti pada mana-mana ahli Parlimen sebelum meletakkan jawatan.

“Kami mendesak Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan dengan cara terhormat dan benarkan proses demokrasi berjalan semula.

“Segala cadangan reformasi yang kononnya dibentangkan oleh Muhyiddin boleh diangkat dan dibawa ke Parlimen oleh Perdana Menteri baharu yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. Maka, Muhyiddin perlu letak jawatan dengan kadar segera,” kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu merupakan pendirian bersama Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden PSB Baru Bian dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Turut menyokong kenyataan berkenaan adalah lapan ahli Parlimen Warisan yang terdiri daripada Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar), Datuk Rozman Isli (Labuan) serta seorang ahli Parlimen PSB Datuk Masir Kujat (Sri Aman).- UTUSAN

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *