43.9% Penduduk Dewasa Di Sabah Sudah Terima Vaksin Dos Pertama

KOTA KINABALU, 13 Ogos : Lebih 1.17 juta atau 43.9 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima dos pertama vaksin COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 489,081 orang atau 19.6 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin tersebut.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa berusaha mempertingkat keupayaan suntikan setiap hari. Semalam, JKNS berjaya memberi suntikan 54,091 dos kepada penduduk Sabah iaitu menghampiri sasaran keupayaan maksimum JKNS sebanyak 59,000 dos sehari,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Masidi juga berkata kerajaan telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelbagai aktiviti yang dibenarkan dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Nasional termasuk pengoperasian restoran dan pasar raya.

“SOP menetapkan bahawa operator, pekerja dan pelanggan mestilah mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin. Kita juga sedia maklum bahawa ada di antara mereka dalam sektor ini belum menerima vaksin atau belum lengkap divaksin.

“Oleh itu, adalah dinasihatkan agar mereka yang belum divaksin segera mendapatkan vaksin di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat. Bagi pekerja-pekerja pasar raya, restoran dan hotel di sekitar Kota Kinabalu, mereka boleh datang ke PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah untuk vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata jumlah kes baharu positif COVID-19 Sabah hari ini ialah 1,654 yang menyaksikan penurunan sebanyak 398 kes berbanding 2,052 semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

“Daripada 1,654 kes hari ini, sebanyak 956 kes atau 57.8 peratus adalah daripada saringan kontak rapat dan 528 kes atau 31.9 peratus pula melalui saringan bergejala. Trend semasa memperlihatkan kenaikan ketara kategori bergejala di beberapa daerah.

“(Ini merupakan) Satu isyarat bahawa penularan virus COVID-19 semakin meluas dalam kalangan komuniti,” katanya.

Masidi berkata satu kluster baharu direkodkan di negeri itu hari ini iaitu Kluster Donggongon yang dikategorikan sebagai kluster tempat kerja melalui pengesanan kes positif di sebuah premis badan berkanun di daerah Penampang.

“Kes indeks merupakan pembersih pejabat iaitu seorang wanita berusia 46 tahun yang disahkan hasil saringan bergejala dengan keputusan positif (RTK-Ag) di sebuah klinik swasta pada 4 Ogos 2021,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *