Kes Baharu Covid-19 Di Sabah Terus Meningkat

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Kes membabitkan pandemik Covid-19 di Sabah terus meningkat dengan angka mencecah 1,514 kes hari ini.

Angka berkenaan adalah yang tertinggi setakat ini berbanding jumlah kes harian yang pernah direkodkan.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah berkenaan sekali lagi meningkat sebanyak 131 kes berbanding semalam yang merekodkan 1,383 kes.

Katanya, antara yang dilihat menyumbang kepada peningkatan mendadak kes baru itu adalah membabitkan daerah Penampang.

“Penampang merekodkan sebanyak 228 kes dan 60.5 peratus kes adalah membabitkan kontak rapat manakala 33.3 peratus lagi adalah melalui saringan bergejala.

“Bagi daerah Keningau pula, sebanyak 140 kes baru direkodkan hari ini dan diikuti Papar 92 kes serta Beluran 78 kes,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Masidi berkata, bagi daerah Kota Kinabalu pula, sebanyak 263 kes dicatatkan hari ini dan kekal sebagai kes positif tertinggi di Sabah.

Sementara itu, Masidi berkata, 1,005 daripada 1,514 kes hari ini terletak dalam kategori 1 dan 2, manakala 13 lagi dalam kategori 3.

Katanya, bagi kategori 4 serta 5 pula masing-masing mencatatkan tiga pesakit dan selebihnya masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Satu kluster baru yang direkodkan hari ini ialah Kluster Batu 27 Sook di Keningau yang mencatat jumlah kumulatif sebanyak 55 kes termasuk 50 kes baru hari ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *