Pemandu Teksi Rempuh 3 Kenderaan Di Airport KK Meninggal Dunia

Dalam kejadian 19 Julai lalu pemandu teksi itu merempuh tiga kenderaan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan kejadian dikatakan berpunca akibat salah faham.

KOTA KINABALU: Seorang pemandu teksi yang mengamuk dengan merempuh tiga kenderaan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) 19 Julai lalu dilaporkan meninggal dunia.

Ng Chin Seng, 65, dilaporkan meninggal dunia Isnin lalu akibat kegagalan buah pinggang dan beberapa penyakit lain.

Pengerusi Persatuan Limousin dan Teksi KKIA, Shamsuddin Mohd Shah, berkata Ng sebelum ini mempunyai kesukaran hidup dan tekanan mental selain beberapa isu kesihatan lain termasuk terpaksa menjalani rawatan dialisis akibat masalah buah pinggang.

“Kita sememangnya cuba membantu mendiang sebaik mungkin yang termampu. Dia tidak mempunyai rumah tetap selepas berpisah dengan keluarganya.

“Difahamkan, dia sering bermalam merata tempat termasuk dalam kenderaannya,” katanya ketika dihubungi.

Shamsuddin berkata, beberapa ahli persatuan memaklumkan akan membuat penghormatan terakhir kepada Ng sebelum pengebumiannya pada Khamis.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai insiden 19 Julai lalu, Shamsuddin berkata, kejadian hanya disebabkan salah faham.

Katanya, malah pemilik kenderaan yang dirempuh Ng juga tidak mengambil tindakan terhadapnya atau menuntut sebarang ganti rugi.

“Kita tahu masalah dihadapi mendiang dan kita semua juga terkesan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak perniagaan termasuk perkhidmatan kami turut terjejas,” katanya.

Shamsuddin turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan kesusahan dan kesukaran dihadapi pemandu limosin dan teksi di KKIA.

Katanya, masalah kekurangan peluang pendapatan itu sudah berlarutan sejak setahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *