Bakal Disemadikan Di Gombak, Shuib Tunai Hasrat Siti Sarah

KUALA LUMPUR : Jenazah Allahyarham Siti Sarah Raissuddin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak selepas semua urusan di hospital selesai.

Menurut suaminya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, Sarah pernah meluahkan hasrat untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya, Nur Aini Mohamad.

“Memang permintaannya untuk dikebumikan sebelah arwah ibunya. Malah selama ini kalau bersembang hal kematian, memang dia ada menyebut keinginan untuk  disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke tanah perkuburan kira-kira jam 1 petang ini.

Shuib berkata, dia reda dengan pemergiaan isterinya dan berjanji akan menjaga  empat cahaya mata perkongsian hidupnya dengan arwah dengan baik.

“Saya reda dengan pemergian isteri saya Siti Sarah Raisuddin. Cabaran saya untuk memaklumkan tiga anak kami mengenai ketiadaan ibunya selepas ini,” ujarnya yang kelihatan cukup tenang ketika ditemui di kaunter Bilik Jenazah, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM).

Tambah Shuib, dia bersama tiga cahaya matanya, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, sempat membuat panggilan video buat kali terakhir bersama Sarah yang sedang nazak di hospital.

“Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video untuk anak melihat keadaan ibu mereka. Ketika itu nampak juga air mata berlinangan di pipinya seolah olah memahami apa yang saya dan anak bersembang mengenainya.

“Selepas itu, anak kami sudah tidur. Saya juga sempat ke hospital malam tadi sejurus selepas selesai sesi bacaan Yassin dan doa dianjurkan menerusi aplikasi Zoom Meeting. Bagaimanapun tak dibenarkan bertemu dengannya dan saya berpatah balik ke rumah,” katanya.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital berkenaan akibat pandemik COVID-19, jam 5.13 pagi ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *