STAR Kekal Sokong Muhyiddin, Minta Pembangkang Henti Main Politik

Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata, pihak pembangkang harus memberikan kerajaan peluang untuk melaksanakan Pelan Pemulihan Negara.

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), yang merupakan komponen Perikatan Nasional (PN), tetap teguh menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, walaupun ada tekanan kuat terhadapnya supaya mengundurkan diri.

Presidennya, Jeffrey Kitingan, berkata Muhyiddin masih Perdana Menteri yang sah mengikut Perlembagaan.

“Parlimen akan bersidang pada September dan semua Ahli Parlimen berpeluang menentukan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

“Sementara itu, tuduhan-tuduhan bahawa beliau menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah tidak berasas, dan sangat mengganggu pada saat kita semua sepatutnya bekerjasama, baik kerajaan mahupun pembangkang, untuk memerangi Covid-19.”

Muhyiddin semalam menegaskan, beliau tidak akan meletak jawatan walaupun berdepan desakan daripada Umno dan parti-parti pembangkang supaya beliau berbuat demikian.

Katanya, isu peletakan jawatannya tidak timbul memandangkan beliau masih memiliki sokongan yang cukup di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kerajaannya akan membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September untuk menguji sokongan majoriti terhadapnya.

Kitingan, satu-satunya Ahli Parlimen STAR di Dewan Rakyat, mewakili Keningau, berkata usaha kerajaan untuk menghentikan penyebaran Covid-19 terjejas oleh gangguan politik yang berterusan, dan ini melemahkan usaha melaksanakan Pelan Pemulihan Negara seperti yang dijadualkan.

Katanya, hampir 20,000 kes Covid-19 dikesan di Malaysia semalam, dan jumlah kes dijangka akan terus meningkat dalam beberapa minggu akan datang.

“Yang menyedihkan saya adalah, selama empat hari sidang Parlimen, pembangkang berkeras untuk bermain politik tetapi tidak menyumbang apa-apa dalam usaha memerangi Covid-19.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan untuk memastikan Malaysia berada di landasan yang betul dalam memulihkan ekonomi demi kebajikan rakyat.

“Pembangkang harus memberikan kerajaan peluang untuk melaksanakan pelan pemulihan ini,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *