Juruwang Bank Hadir Majlis Pengebumian Cetus Kluster Baharu Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Juruwang bank dijangkiti Covid-19 hadir ke majlis pengebumian mencetuskan kluster baharu iaitu Kluster Tampasuk yang dilaporkan di Sabah hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang dikenal pasti di Kota Belud itu merupakan penularan Covid-19 dalam komuniti.

“Kes indeks merupakan juruwang wanita berusia 32 tahun yang disahkan positif pada 26 Julai lalu bergejala demam, sakit badan, sakit tekak, selsema dan batuk.

“Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 159 kontak mendapati 29 kes positif Covid-19 termasuk sembilan kes baharu hari ini.

“Semua 29 kes positif itu dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Queen Elizabeth dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC),” katanya dalam satu kenyataan media.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah turut berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini mengalami penurunan dan kembali mencatat tiga angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 949 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 88,848 kes.

“Sebanyak enam kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing dua kes di Kota Kinabalu dan Tawau, manakala satu kes masing-masing membabitkan Papar dan Sipitang.

“Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh pula adalah 413 kes menjadikan jumlah kumulatif 79,205 kes, manakala 4,508 kes sedang menerima rawatan iaitu 994 orang di hospital.

“Selain itu, seramai 3,458 orang terima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 48 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan lapan orang di fasiliti swasta,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost