30,000 Dos Vaksin Untuk Penduduk Pulau Di Semporna

SEMPORNA: Sebanyak 30,000 dos vaksin COVID-19 dos tunggal keluaran CanSinoBio dijadual tiba di daerah ini minggu depan, bagi vaksinasi di pulau.

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna, Dr Shameer Khan Sulaiman, berkata vaksinasi penduduk menggunakan vaksin dua dos seperti Pfizer dan Sinovac sebelum ini dibelenggu masalah logistik dan perhubungan kerana ada sesetengah pulau seperti Pulau Denawan memerlukan dua jam perjalanan menggunakan bot.

Katanya, penggunaan vaksin dos tunggal CanSinoBio dapat memudahkan kerja petugas dan penduduk pulau kerana program vaksinasi hanya perlu dilaksanakan sekali di tempat yang sama.

“Kebajikan petugas kesihatan terjaga. Selepas proses vaksinasi itu juga, mereka akan sambung kerja lagi untuk daftar data vaksinasi yang diperoleh,” katanya.

Dr Shameer berkata, vaksin dos tunggal itu hanya digunakan untuk penduduk di pulau, manakala penduduk di tanah besar Semporna tetap menggunakan vaksin dua dos dan pihaknya akan memohon tambahan vaksin keluaran CanSinoBio, jika ada keperluan.

Dr Shameer berkata, lebih 8,000 daripada 16,000 penduduk yang layak divaksin di kawasan Dewan Undangan Negeri Sulabayan, meliputi 29 pulau berpenduduk di sini, sudah menerima vaksin dua dos, setakat semalam.

Beliau juga berkata, pihaknya akan memulakan percubaan program vaksinasi COVID-19 secara jumpa terus di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Semporna untuk 1,000 individu terawal, esok.

“Penduduk boleh mengambil nombor giliran di PPV dengan 1,000 nombor giliran disediakan. 500 individu akan divaksin pada sebelah pagi dan bakinya pada petang. Penduduk yang tidak sempat mendapatkan nombor giliran boleh datang pada keesokannya.

“Vaksinasi secara jumpa terus terbuka kepada penduduk daerah ini yang berusia 18 tahun dan ke atas. Ini antara usaha untuk mempercepat vaksinasi di Semporna,” katanya.

Beliau berkata, 100 nombor giliran khas disediakan untuk warga emas.

Setakat ini katanya, kira-kira 30,000 penduduk Semporna sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 dan semua penduduk termasuk warga asing perlu dibabitkan dalam program vaksinasi ke arah mencapai imuniti kelompok.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kerana membantu dalam melancarkan program vaksinasi di Semporna. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *