Polis KK Tahan Dua Dalang Sindiket Dadah

Mohd Zaidi (tengah) menunjukkan dadah syabu seberat 2,092.70 gram yang dirampas susulan penahanan dua lelaki di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dua dalang sindiket pengedaran dadah yang dalam perjalanan menghantar bekalan bahan terlarang itu kepada pembeli di sebuah pusat beli belah di bandar raya ini, diberkas polis, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 22 dan 28 tahun itu, ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 2,092.70 gram yang dianggarkan bernilai RM72,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua suspek dikesan di dalam sebuah kenderaan Toyota Vios yang diletakkan di tepi pusat beli belah berkenaan.

Katanya, ketika diarah menyerah diri untuk pemeriksaan, kedua-dua suspek enggan membuka pintu sehingga memaksa pasukan polis memecahkan cermin kereta sebelum menahan mereka.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis syabu dibungkus dengan rapi di dalam plastik bertulis ‘GuanYinWang’ dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Polis percaya kedua-dua suspek ini mengutip bayaran sehingga RM1,000 namun bergantung kepada kuantiti dadah untuk setiap penghantaran,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berasal dari Sarawak dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menjalankan urus niaga jualan dadah berkenaan.

Katanya, polis juga percaya kedua-dua suspek turut terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di beberapa daerah sekitar.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal sebenar dadah berkenaan.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost