Pelajar KV Keningau Naib Johan Pertunjukan Boneka Di Australia

KENINGAU: Dua orang pelajar dari Kolej Vokasional Keningau, Jellysia Joen Jimson dan Fiona Leonilla Jaimis, telah berjaya mendapat tempat kedua di festival seni “Under the Skies of Australia” dalam kategori pertunjukan boneka (puppet show) yang dianjurkan secara maya oleh persatuan seni Monolit Festival pada 20 Julai 2021.

Kedua-dua pelajar ini merupakan pelajar tahun akhir program pendidikan awal kanak-kanak dan mereka telah menghantar video pertunjukan boneka mereka yang bertajuk “Katau the Sea Witch” ke festival tersebut. Pautan video persembahan mereka bolehlah diakses melalui: https://youtu.be/j5m2P-hSmbM

Pertunjukan boneka ini berkisarkan makhluk mitos “Katau” yang tinggal di tengah lautan dan sering mengancam keselamatan para nelayan dan pelayar.

Cerita ini dipersembahkan melalui perspektif seorang pelayar muda bernama “Mun” yang mengambil keputusan untuk membebaskan Katau dari belenggu rantai besi yang telah memenjaranya di sebuah pulau pada masa yang lama.

Pertunjukan ini diselitkan juga dengan nyanyian lagu dari salah seorang pelajar tersebut yang menjadi pelakon suara bagi Katau.

Pengarah KV Keningau, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, mengucapkan tahniah kepada pasukan ini kerana keberanian dan kreativiti mereka mencuba sesuatu yang baru dalam festival persembahan seni yang selalunya menampilkan persembahan tarian, muzik dan nyanyian.

Dia berharap warga KV Keningau akan terus meneroka bidang seni untuk memelihara warisan budaya dan memperkembangkan bakat mereka.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost