Kebakaran Kampung Titingan: Penduduk Dengar Bunyi Letupan Kuat

TAWAU, 19 Julai  : Bunyi letupan yang kuat mengejutkan dua beradik yang berada di dapur rumah, sebelum mendapati berlaku kebakaran di hadapan rumah mereka di Kampung Titingan di sini pagi tadi.

Rusjatimah Saprin, 46, berkata sebelum kejadian, dia mahu memasak air manakala kakaknya sedang merebus Buras, sejenis makanan Bugis, untuk hidangan Hari Raya Aidiladha esok, dan pada ketika itu keadaan sunyi.

“Tiba-tiba kami dikejutkan bunyi letupan kuat seperti dari tong gas memasak, saya buka pintu dapur dan tengok ruang tamu rumah jiran terbakar, saya dengar jeritan jiran meminta tolong.

“Melihat api marak itu saya berteriak banyak kali memberitahu ‘api’ dan meminta kakak serta tiga lagi anak-anak yang ketika itu di ruang tamu untuk segera berlari keluar rumah, saya pula sempat menyelamatkan sebahagian dokumen diri,” katanya kepada Bernama di sini haru ini.

Rumah beliau merupakan antara kira-kira 50 rumah yang musnah dalam kebakaran, membabitkan rumah di Blok 9, 10 serta 11 pada 9.30 pagi tadi.

Rusjatimah berkata, rumah pusaka berusia lebih 40 tahun itu menyimpan banyak memori keluarga dan menjadi tempat berkumpul terutama pada hari raya.

“Ujian ini berat, namun saya reda dan bersyukur kerana nyawa masih panjang, mungkin kami menumpang tinggal bersama anak saudara,” katanya dan menambah kejadian berlaku dalam sekelip mata dan dia tidak sempat menyelamatkan barangan lain.

Bagi Nurin Raub, 65, pula ketika kejadian dia berada di dalam bilik dan tiba-tiba cucu perempuannya Kasma Samad,12, memberitahu ada kebakaran.

“Saya terkejut dan sempat ambil dokumen diri sebelum cucu tarik tangan berlari keluar rumah, terasa bahang panas pada waktu itu dengan kepulan asap tebal,” katanya yang menduduki rumah berkenaan lebih 30 tahun.

Katanya, beliau tidak menyangka bencana seumpama itu menimpa dirinya serta Kasma, dan merancang tinggal menumpang dengan anaknya di Ranggu di sini, selepas suami meninggal dunia pada awal tahun ini.

Sementara itu Remie Saprin, 64, pula tidak menyangka rumah pusaka didiami bersama 10 ahli keluarga lain, musnah dalam kebakaran pagi tadi.

“Saya keluar jam 7.15 pagi hantar anak pegi klinik, dan lepas itu pergi ke pasar beli pisang dan ambil buras, tidak sangka sampai saja di kampung, saya nampak kepulan asap tebal dan api marak, waktu ini saya berharap rumah tidak terbakar tetapi terkena juga,” katanya merancang tinggal di rumah anak di Batu 8 di sini.

Beliau dalam pada itu berharap kerajaan memberi bantuan segera kepada semua mangsa kebakaran.

Tinjauan Bernama setakat 3 petang tadi mendapati, sebanyak 86 ketua keluarga mendaftar di pusat pemindahan sementara Balai Raya Kampung Titingan, yang dibuka untuk mangsa kebakaran. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *