DUN Sabah Tidak Bubar Secara Automatik

Kadzim M. Yahya

KOTA KINABALU: Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya menafikan dakwaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berisiko dibubarkan automatik sekiranya tidak bersidang sebelum 1 Ogos ini.

Beliau berkata, jika dilihat di bawah Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan DUN Sabah hendaklah bersidang dalam tempoh enam bulan dari tempoh terakhir sidang yang lalu.

Bagaimanapun, mengikut Seksyen 15 (1) (a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kusa Perlu) 2021 memperuntukkan pengecualian kepada Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Justeru, orang ramai diminta supaya tidak keliru disebabkan DUN Sabah belum mengadakan persidangan sejak Persidangan Belanjawan Negeri 2021 pada Disember 2020,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, DUN Sabah bersedia untuk mengadakan persidangan pada bila-bila masa dan kini hanya menunggu penetapan tarikh daripada kerajaan negeri sahaja.

Kenyataan ini sebagai maklum balas kepada kenyataan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menyatakan sidang DUN berhadapan risiko pembubaran jika tidak diadakan sebelum 1 Ogos ini.

Untuk itu, kerajaan negeri perlu mengadakan persidangan DUN sebelum 1 Ogos bagi mengelakkan pembubaran DUN secara automatik.

Beliau berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor perlu membuka persidangan DUN sebelum tengah malam 1 Ogos.

Jika dilihat persidangan terakhir DUN adalah pada 23 Disember 2020 dan tempoh enam bulan itu sudah berakhir semasa pelaksanaan Darurat.

Madius juga menggesa agar persidangan DUN diadakan sebelum Parlimen bersidang pada 25 Julai ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *