Covid-19: Satu Kluster Baharu & Empat Kematian Dicatatkan Di Sabah Hari Ini

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun.

KOTA KINABALU, 14 Julai : Sabah merekodkan satu lagi kluster baharu COVID-19 melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti iaitu Kluster Kampung Melaman di Sipitang, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 negeri itu berkata kluster berkenaan mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap tujuh sekeluarga di Klinik Sindumin pada 9 Julai, selepas tiga hari mengalami demam, sakit kepala dan sakit sendi.

“Kes indeks merupakan tutor wanita berumur 17 tahun yang mengajar di rumah keluarga terbabit dan bergejala serupa sejak 26 Jun lepas tetapi tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

“Susulan pengesanan dan saringan kontak yang dijalankan, terdapat pertambahan kes melibatkan kaitan epidemiologi sama iaitu sejarah menghadiri majlis agama di Kampung Melamam. Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini ialah 37 kes,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata sebanyak 286 kes baharu COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73,136 kes, dengan terdapat empat kes kematian dilaporkan masing-masing di Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Seramai 284 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif 70,183 orang, manakala seramai 2,079 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 425 orang di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam (1,612 orang) dan 42 lagi di pusat tahanan sementara atau penjara, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *