Hajiji Hargai Bung Tetap Bersama GRS, Selepas UMNO Tarik Sokongan Kepada Muhyiddin

Hajiji Noor berkata, perjuangan bersama rakyat perlu diterjemahkan melalui komitmen semua pemimpin untuk fokus, bekerjasama dan bersatu padu membawa Sabah keluar daripada permasalahan sekarang.

KOTA KINABALU, 8 Julai : Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor menghargai pendirian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang kekal konsisten dengan komitmen untuk terus bersama-sama dalam kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata pendirian itu menzahirkan komitmen padu semua kepimpinan GRS untuk menjunjung mandat rakyat Sabah yang telah memilih kerajaan baharu di bawah gagasan gabungan parti berkenaan.

Beliau berkata perjuangan untuk bersama rakyat perlu diterjemahkan dengan semua pemimpin Sabah memberi fokus, bekerjasama dan terus bersatu padu.

“Keutamaan kita adalah menjaga nasib dan masa depan rakyat serta negeri (Sabah). Cabaran di hadapan kita adalah menangani isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi susulan pandemik COVID-19.

“Justeru, sebagai Pengerusi GRS, saya amat menghargai pendirian beliau (Bung Moktar) yang terus bersama kerajaan GRS di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri menyatakan bahawa UMNO Sabah berpendirian untuk terus kekal bersama rakan komponen dalam GRS bagi mempertahankan kerajaan Sabah yang kini ditadbir gabungan tersebut walaupun berdepan situasi politik semasa.

Timbalan Pengerusi I GRS itu juga berkata UMNO Sabah bertindak mempertahankan kerajaan Sabah pada masa ini bagi memastikan janji kepada rakyat semasa Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 lepas dapat ditunaikan.

GRS adalah gabungan parti dalam Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS); BN (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Parti Bersatu Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost