Keluar Lokap SPRM, Masuk Lokap Polis

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali (kanan) ketika sidang media berkenaan perkembangan tangkapan ketua sindiket judi dalam talian bersama Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy (kiri).

KOTA KINABALU: Polis menahan empat ahli sindiket perjudian Geng Ah Tai termasuk tiga yang pernah ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam beberapa siri tangkapan di Tawau, Sabtu lalu.

Semua yang ditahan membabitkan dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 23 hingga 57 tahun yang dipercayai menjadi dalang kepada aktiviti perjudian dalam talian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga suspek yang dibebaskan SPRM pada Sabtu lalu untuk membantu siasatan polis.

Katanya, hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan berusia 30-an do Taman Anugerah, Tawau pada hari sama.

“Suspek dipercayai terbabit aktiviti perjudian dalam talian dan dipercayai salah seorang ahli sindiket perjudian tambah nilai dalam talian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Turut hadir Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy.

Hazani berkata, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka dan juga tindakan undang-undang pencegahan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c), Seksyen 4A(a) dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 selain tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membanteras aktiviti perjudian haram di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Karunanithy mengesahkan tiada tangkapan dilakukan terhadap mana-mana anggota penguat kuasa.

Katanya, SPRM hanya memberi fokus terhadap tiga individu terbabit mengikut Akta SPRM 2009 iaitu memberi sogokan kepada anggota penguat kuasa.

Dalam laporan yang dikeluarkan 21 Jun lalu, SPRM menahan tiga individu terbabit dan sebanyak RM39,199 wang tunai dirampas selain menyita empat akaun bank berjumlah RM586,576 dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian haram. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *