Makan Di Restoran: SOP Tidak Jelas, Pengusaha Restoran Risau Dikompaun

Chan Foong Hin

KOTA KINABALU: Hari ini sepatutnya makan di restoran dan premis makanan sudah dibenarkan mengikut kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semalam.

Namun, tiada prosedur operasi standard (SOP) yang baharu dikeluarkan bagi kebenaran makan di restoran hingga menyebabkan anggota penguatkuasa dan pengusaha restoran berada dalam kekeliruan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menerusi laman Facebooknya menyatakan beliau menerima aduan daripada pengusaha restoran dan penjaja di kawasan Damai, Lintas dan Foh Sang yang memaklumkan mereka diberi amaran oleh penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tidak membuka meja makan kerana SOP belum tersedia.

Foong Hin berkata, pengusaha restoran memberitahu sekiranya mereka membuka meja makan untuk membenarkan pelanggan makan di restoran, mereka akan dikenakan kompaun.

Tindakan penguatkuasa ini amat bertentangan dengan kebenaran makan di restoran yang diumumkan Ketua Menteri semalam.

Kekeliruan sebegini timbul kerana tiada garis panduan dan SOP yang jelas apabila pengumuman kebenaran makan di restoran itu dikeluarkan.

Untuk itu, beliau menggesa penguatkuasa KKM agar tidak bertindak mengeluarkan kompaun kerana kebenaran itu memang datang daripada kerajaan negeri.

Masalah kekeliruan SOP ini juga timbul disebabkan oleh kerajaan negeri. Biarpun SOP belum dikeluarkan namun, kebenaran makan di restoran sudah diberikan.

Maka, peniaga boleh mengikut SOP makan di restoran atau premis makanan yang dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe berkata, difahamkan penguatkuasa tidak membenarkan pengusaha restoran membenarkan pelanggan makan di restoran kerana SOP belum dikeluarkan.

Phoong Jin Zhe

Katanya, kebanyakan pengusaha menunggu SOP baharu dikeluarkan berikutan pengumuman Ketua Menteri yang membenarkan pelanggan makan di restoran.

Tindakan penguatkuasa KKM melarang pengusaha membenarkan pelanggan makan di restoran bertentangan dengan pengumuman Ketua Menteri.

“Persoalan sekarang, adakah kenyataan Ketua Menteri itu boleh diguna pakai tanpa SOP yang dikeluarkan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kerajaan seharusnya bergerak seiring apabila membuat pengumuman mengenai sebarang perubahan SOP. Jangan keluarkan kenyataan yang tidak jelas dan lengkap hingga mengundang kekeliruan kepada pengusaha dan juga orang awam,” katanya.

Jin Zhe berkata, rakyat sudah cukup terkesan akibat pandemik Covid-19 jadi jangan bebankan rakyat dengan SOP dan arahan yang tidak jelas.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *