Individu Ke Labuan Perlu Jalani Ujian 3 Hari Sebelum Perjalanan, Kuarantin Wajib 14 Hari

PUTRAJAYA: Individu yang ingin memasuki Labuan diwajibkan menjalani ujian RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan berkuatkuasa 1 Julai, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, individu dari luar negara juga diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari di hotel sementara pengembara bagi penjawat awam perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari di rumah atau hotel.

“Manakala pengembara bagi penduduk asal Labuan, mereka perlu menjalani kuarantin 10 hari di rumah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pengumuman itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 di wilayah berkenaan ketika ini.

Manakala, bagi pengguna kad harian transporter, Ismail berkata mereka perlu mengambil ujian PCR setiap dua minggu dan RTK-Antigen setiap minggu.

“Kemasukan dibenarkan untuk warganegara sahaja dan wajib menjalani kuarantin 14 hari dengan ujian RT-PCR pada hari ke-10.

“Prosedur kemasukan ke Labuan adalah terpakai sepenuhnya dengan keutamaan diberikan kepada individu yang telah mengambil vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, pergerakan keluar juga dibenarkan dengan 14 hari kuarantin dan wajib menjalani ujian RT-PCR.

Manakala, pergerakan kapal kumpit ditangguhkan buat sementara waktu.

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan

Mengulas lanjut, Ismail berkata tiga lokaliti di Petaling, Selangor – Mentari Court, PJS 8, Taman Perumahan SS91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite PKNS- diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selama dua minggu berkuatkuasa 1 Julai hingga 14 Julai.

Turut diletakkan bawah PKPD pada 1 Julai adalah Kampung Kubang Jela, Kuala Terengganu; Kampung Balung Cocos, Tawau, Sabah dan dua lokaliti di Kuala Lumpur iaitu Projek Perumahan Rakyat Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain.”

Sementara itu, beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah dan Sarawak antaranya:

  • Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment (Penampang)
  • Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan (Kudat)
  • Kampung Goebilt dan Kampung Muara Tebas (Kuching)
  • Kampung Rancangan dan Kampung Kijang Merotai (Kalabakan)
  • Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah (Tawau)
  • Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil (Kota Kinabalu)
  • Kampung Taun Gusi Peninting (Kota Belud)

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *