OP Patuh Di Seluruh Negara Bermula 1 Julai – Hamzah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 (JKPS) bersetuju untuk melaksanakan OP Patuh di peringkat nasional.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata menerusi OP Patuh itu, ia lebih memberi fokus secara bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP di kilang dan premis perniagaan yang beroperasi, termasuk penyalahgunaan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh kementerian, jabatan atau agensi.

Selain itu, katanya, Sekatan Jalan Raya Bergerak atau ‘Mobile-Roadblock’ juga akan dilaksanakan di lokasi panas COVID-19 di seluruh negara, terutama di kawasan kilang dan perindustrian utama.

“Sebelum ini, apabila kita tumpukan operasi di satu-satu kawasan, contohnya kilang, nanti terdapat peningkatan kes dalam sektor lain pula.

“Jadi, dengan adanya OP Patuh ini, kita akan buat ia secara bersepadu di seluruh negara dalam beberapa hari.

“Jika operasi ini dijalankan dalam tempoh tertentu, kita dapat pastikan semua orang untuk mengikut SOP yang ditetapkan yang seterusnya dapat mengurangkan kes dan membawa kita ke fasa kedua dalam Pelan Pemulihan Negara yang dirancang oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKPS pertama hari ini.

Sementara itu, Hamzah berkata bagi menambah baik prosedur pengurusan aduan yang diterima berhubung ketidakpatuhan dan pelanggaran SOP di seluruh negara, mesyuarat JKPS memutuskan semua aduan yang diterima oleh mana-mana agensi penguat kuasa, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dikoordinasikan oleh KDN untuk tindakan penguatkuasaan di lapangan.

“Peranan Pasukan Petugas Khas yang sebelum ini dikendalikan MKN akan diambil alih oleh KDN dan kita akan meneliti setiap aduan awam yang diterima, termasuk memastikan tindakan susulan diambil terhadap aduan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata dalam tempoh 10 hari sehingga semalam sebanyak 123,469 premis perniagaan dan 21,919 kilang sudah diperiksa di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan sebanyak 885 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan, manakala 265 premis sudah diarahkan tutup serta 39 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi SOP serta arahan PKP,” katanya.

Mengenai mesyuarat yang dipengerusikan olehnya itu, Hamzah berkata ia turut disertai wakil dari 21 kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.

“Antaranya, MKN, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta MITI.

“Ia turut disertai Jabatan Kerajaan Tempatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *