KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali, berkata militan Abu Sayyaf cuba masuk dan bersembunyi di negeri ini disebabkan tindakan tegas pasukan keselamatan Filipina terhadap kumpulan terbabit.
Katanya, cubaan kumpulan itu untuk masuk ke Sabah dipercayai masih berlaku dan pihaknya akan terus memantau bagi memastikan negeri ini tidak dijadikan sebagai “syurga” bagi mereka.
“Polis khususnya cawangan khas dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa giat menjalankan operasi bagi menghalang kemasukan kumpulan ini.
“Kami percaya banyak cubaan ahli kumpulan ini yang lari dari negara jiran dan bersembunyi di Sabah disebabkan tindakan agresif pihak berkuasa Filipina.
“Namun, hasil tindakan kita, seperti pada bulan lalu di mana kita berjaya menembak mati lima orang dan beberapa lagi diserahkan balik ke Filipina, mereka bersembunyi di pulau-pulau sekitar sempadan perairan antarabangsa,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hazani menasihatkan seluruh masyarakat di negeri ini supaya tidak menyahut seruan satu video tular, baru-baru ini, yang mengajak orang ramai mengadakan perhimpunan esok.
Katanya, polis akan mengambil tindakan sewajarnya yang diperuntukkan jika melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Saya akan ambil tindakan sewajarnya yang diperuntukkan dalam undang-undang dan SOP.
“Saya juga menyeru kepada rakyat Sabah khususnya jangan cuba-cuba untuk keluar menyahut seruan daripada video yang tular itu,” katanya.
Rakaman video berdurasi 2 minit 40 saat itu memaparkan seorang individu memakai topeng muka mengajak orang ramai berhimpun bagi membantah pelaksanaan “lockdown” menerusi operasi dikenali sebagai “Black Democracy”.
Difahamkan, perhimpunan itu bakal diadakan di beberapa lokasi seluruh negara termasuk di Sabah. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost