PGA Sabah Rampas Rokok Seludup Benilai Hampir RM70,000

Bungkusan hitam berisi rokok seludup yang dirampas anggota PGA Briged Sabah di Lahad Datu. – Foto PGA

LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas pelbagai jenis rokok bernilai hampir RM70,000 dalam van di Jalan POIC, di sini, pagi tadi.

Dalam Ops Kontraban oleh pasukan khas perisikan Batalion 17 Lahad Datu, kira-kira jam 9 pagi itu, pasukan pengautkuasa turut menahan pemandu van berusia 41 tahun.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya menahan sebuah van dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan di belakang kenderaan itu menemui 19 plastik hitam yang mengandungi 460 karton rokok disyaki diseludup.

“Rampasan membabitkan pelbagai jenis rokok seludup dipercayai untuk diedarkan di daerah berkenaan.

“Anggaran nilai rokok yang dirampas berjumlah RM67,800 dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk van serta telefon bimbit adalah sebanyak RM98,400,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, rampasan dan tangkapan dibawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

“Polis menyeru masyarakat supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *